DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan kehadiran figura-figura terkenal sebagai Duta Sukan Johor bakal memberi sinar baharu kepada negeri berkenaan.
Komen itu dibuat baginda selepas Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi memuat naik video pertemuan beliau dengan Duta Sukan Johor, Datuk Lee Chong Wei.
Sebelum ini, Tunku Ismail mendedahkan beberapa figura sukan terkenal dunia bakal dilantik sebagai Duta Sukan Johor.
Antara nama yang dikongsikan baginda ialah Chong Wei, Sonny Bill Williams, Tim Cahill dan Khabib Nurmagomedov.
Susulan itu, legenda badminton Malaysia itu mengadap Tunku Ismail pada Mac lalu. Pertemuan tersebut turut disertai Onn bagi membincangkan visi baginda untuk sukan negeri Johor.
Beliau menyifatkan pelantikan Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor mampu membawa negeri itu ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Johor bertekad untuk mengembalikan kejuaraan pada SUKMA akan datang, dengan membangunkan ekosistem sukan yang lebih progresif dan melahirkan atlet bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
“Dengan kehadiran Datuk Lee Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor, saya yakin usaha ini akan lebih diperkukuh demi merealisasikan impian Johor sebagai kuasa besar sukan negara.
“Terima kasih Datuk Lee Chong Wei, atas kesudian menyertai keluarga Bangsa Johor. Insya-Allah, dengan usaha bersama, Johor akan terus melahirkan atlet cemerlang yang mampu membawa nama Johor dan Malaysia ke peringkat global.”
Tunku Ismail menyifatkan ini sebagai sinar baharu buat sukan negeri Johor. “Syabas. Lebih banyak lagi perkembangan untuk sukan Johor. Tidak dilupakan ekonomi dan pendidikan. Cabaran lima tahun,” katanya.
Selain Chong Wei, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) turut mengesahkan pelantikan Sonny sebagai Ikon Sukan Johor baru-baru ini.