Singapura membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan apabila mengatasi Guam dalam aksi pertama pusingan kelayakan pertama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Perlawanan ini dilihat mudah atas kertas dengan melihat ranking FIFA kedua-dua pasukan. Singapura menduduki ranking ke-157 dengan Guam (kedudukan ke-201).
Justeru, tidak hairanlah Singapura tampil garang di Stadium Nasional Singapura pada babak pertama.
Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-35 untuk menyumbat gol pertama menerusi Christopher van Huizen.
Enam minit kemudian, The Lions melebarkan kelebihan mereka menerusi bek tengah Madura United, Jacob Mahler. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Singapura berusaha menambah jaringan tetapi gagal. Ini mendorong jurulatih The Lions membuat beberapa pertukaran.
Salah seorang yang dimasukkan ialah penyerang muda KMSK Deinze, Ilhan Fandi. Ini kemunculan pertama Ilhan selepas sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan ACL.
Ilhan yang diberi amanah mengetuai bahagian serangan menggantikan Shawal Anuar mendapat beberapa percubaan tetapi kesemua percubaannya tidak menemui sasaran.
Sebaliknya, Guam pula merapatkan jurang menerusi kapten Jason Cunliffe pada minit ke-90. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Singapura perlu lebih klinikal di hadapan gol untuk aksi kedua kelayakan pada 17 Oktober di Dededo, Guam sekiranya mahu layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.