Advertisements
Singapura Jadi Mangsa Amukan China
Asia
MakanBola
FA Singapore

China tidak berdepan masalah yang besar untuk mengutip tiga mata penuh menentang Singapura dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Olimpik Tianjin sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan tanpa kehadiran penyerang berbisa masing-masing. China memulakan perlawanan tanpa Elkeson manakala Singapura pula turun tanpa Ikhsan Fandi. Kedua-duanya memulakan aksi di bangku simpanan.

China menguasai perlawanan dengan variasi hantaran pendek dan tepat sekali gus memaksa Singapura lebih banyak bertahan di awal permainan.

Hasil serangan bertali arus, China akhirnya berjaya di hadapan pada minit ke-21 melalui penyudah Wu Lei yang memanfaatkan hantaran dari rakan sepasukan. China di hadapan 1-0.

Kedudukan itu hanya kekal satu minit sahaja selepas Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22 hasil sentuhan pemain sayap berbisa, Faris Ramli yang menanduk hantaran dari Ryhan Stewart sekali gus menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Kedua-dua saling menyerang selepas itu namun kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Singapura mula membawa masuk Ikhsan Fandi bagi menambah ketajaman penyudah.

China akhirnya berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-65 melalui sepakan penalti yang disudahkan oleh Fernandinho. Sepakan penalti diberikan selepas kekasaran yang dilakukan Jacob Mahler ke atas pemain China. China di hadapan 2-1.

Pada minit ke-79, China terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Li Yuanyi diperintahkan keluar padang.

Walaupun kekurangan satu pemain, China tetap garang dengan meneruskan pesta gol selepas Wu Lei sekali lagi meledak pada minit ke-85.

Ketika perlawanan semakin hampir ditamatkan, Wei Shihao menutup malam gemilang China dengan jaringan keempat pada penghujung perlawanan selepas menyempurnakan hantaran Wu Lei.

https://twitter.com/FASingapore/status/1772624522807505139

Perlawanan ditamatkan dengan kemenangan 4-1 memihak China. Kemenangan ini meletakkan China berada di tangga kedua kumpulan C dengan mengumpul 7 mata. Manakala Singapura kekal di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.