Singapura memulakan saingan ASEAN Championship dengan langkah kanan apabila berjaya menjinakkan Kemboja di laman sendiri.
Kedua-dua pasukan membariskan kesebelasan utama terbaik. Singapura berkelebihan dengan beraksi di laman sendiri.
Manakala Kemboja memburu kemenangan pertama bagi kumpulan A selepas seri menentang Malaysia tempoh hari.
Singapura membuka jaringan seawal 9 minit permainan menerusi Faris Ramli yang bijak menyudahkan peluang di atas kesilapan pertahanan Kemboja.
Pada minit ke-16, kesilapan penjaga gol Kemboja membawa padah, Shawal Anuar tidak mensia-siakannya dengan menjaringkan gol kedua buat Singapura.
Separuh masa pertama tamat, Singapura 2-0 Kemboja.
Jurulatih Kemboja, Tsutomu Ogura membuat tiga pertukaran pemain di bahagian serangan dalam separuh masa kedua.
Akhirnya pertukaran tersebut membuahkan hasil, pada minit ke-59, penyerang Kemboja, Sieng Chanthea membuka jaringan pertama pasukan.
Enam minit masa tambahan tidak mampu mengubah keputusan perlawanan, Singapura 2-1 Kemboja.
Selepas ini, Singapura akan berdepan Timor Leste 14 Disember sementara Kemboja juga akan bertemu Timoe Leste pada 17 Disember ini.