Singapura terus tercari-cari kemenangan kedua dalam kalendar antarabangsa FIFA apabila mereka tewas 2-0 kepada Tajikistan dalam aksi persahabatan di Stadium Bishan hari ini.
The Lions yang diketuai kapten, Hariss Harun tahu mereka berdepan cabaran sukar menentang Tajikistan. Dari segi ranking FIFA, The Crowns berada pada kedudukan ke-110 dunia berbanding Singapura (ke-158).
Kelebihan ini dimanfaatkan pasukan pelawat sebaik wisel babak pertama ditiup. The Crowns yang diketuai pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Amirbek Jurobaev membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi pemain tengah Mukhammadzhon Rakhimov.
The Crowns terus mendominasi tuan rumah yang dibimbing jurulatih Jepun, Takayuki Nishigaya. Begitupun, keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Singapura berusaha mencari peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi gagal. Malang terus menimpa The Lions apabila Adam Swandi dibuang padang selepas didakwa menyiku muka pemain Tajikistan.
Biarpun cuba dibantah oleh Adam dan beberapa pemain tuan rumah, pengadil tetap tegas dengan keputusannya.
Itu merupakan kad merah pertama yang diterimanya selepas 15 kali mewakili Singapura. Ini juga kad merah kedua yang diterima Adam dalam kariernya seperti dinyatakan oleh Transfermarkt.
Kemenangan Tajikistan disahkan apabila bek kanan Vakhdat Khanonov berjaya melepasi cabaran Christopher van Huizen sebelum melepaskan rembatan pada minit akhir perlawanan.
Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama Tajikistan untuk tahun 2023 selepas sebelum ini tersingkir dari peringkat kumpulan Piala Negara-Negara CAFA 2023 pada Jun lalu.
Manakala bagi tuan rumah pula, mutu persembahan mereka harus diperbaiki sebelum turun menentang Taiwan dalam aksi persahabatan seterusnya pada 12 September ini.