Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) membuat keputusan yang senada dengan Malaysia mengenai percaturan bola sepak mereka pada tahun ini.
Umum mengetahui bahawa tahun 2023 merupakan tahun yang amat sibuk buat bola sepak di Asia Tenggara dengan beberapa kejohanan penting buat pasukan muda di rantau ini.
Hal ini termasuklah penyertaan pasukan bawah 23 tahun (b-23) Singapura yang mengesahkan keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam kejohanan Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.
Keputusan ini juga selari dengan tindakan yang dibuat oleh pasukan Harimau Malaya kendalian E. Elavarasan yang juga tidak akan menyertai pertandingan tersebut.
Menerusi satu kenyataan oleh FAS, selepas perbincangan antara Sport Singapore (SportSG), Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah membawa kepada keputusan penting yang dilakukan.
“Keputusan telah dicapai bahawa pasukan bola sepak Lelaki Bawah 22 tidak akan menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 akan datang, yang dijadualkan. untuk pada September 2023. SportSG menyokong keputusan ini dan SNOC tidak mempunyai sebarang bantahan.”
“Keputusan itu dicapai susulan tinjauan Pasca Sukan SEA 2023 yang diumumkan minggu lalu, dan keputusan untuk tidak menyertai Sukan Asia adalah selaras dengan salah satu saranan daripada kajian semula iaitu agar Pasukan Kebangsaan B-22 Lelaki memberi tumpuan pada dua kejohanan keutamaan: Sukan SEA dan kejohanan kelayakan Piala Asia B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2024,’ jelas FAS.
Edisi Sukan Asia ini telah ditangguhkan dari September 2022 kerana wabak Covid yang membawa kepada senarai perlawanan yang padat pada 2023.
Singapura bagaimanapun mengesahkan bahawa pasukan wanita mereka akan terus menyertai Sukan Asia.