Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan senarai awal 30 pemain untuk menghadapi saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.
Senarai ini diumumkan FAS dalam satu pengumuman di laman sesawang rasmi mereka. Skuad yang dibawa Tsutomu Ogura untuk kempen PMEA 2024 berbeza kerana tidak disertai pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara.
Antara pemain yang tidak menyertai The Lions ialah Safuwan Baharudin (Selangor FC), Irfan Fandi (Port FC), Ikhsan dan Ilhan Fandi (BG Pathum United) serta Jacob Mahler (Muangthong United).
Ogura terpaksa menyisihkan nama Mahler kerana pemain berdarah Denmark-Singapura itu mengalami kecederaan. Manakala Safuwan, Irfan, Ikhsan dan Ilhan tidak dapat menyertai pasukan bukan saja kerana jadual padat liga domestik pasukan masing-masing.
Malah, Safuwan dan Irfan sibuk membantu Merah Kuning dan Port Lions mengharungi kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Situasi ini mendorong Ogura memanggil semua pemain yang beraksi dalam saingan Singapore Premier League (SPL).
Jurulatih Jepun itu percaya Singapura mampu menunjukkan keupayaan mereka dalam kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.
“Kita telah membuat persiapan baik untuk beraksi dalam saingan PMEA. Kejohanan ini memberi makna besar kepada penyokong dan komuniti kita.
“Para pemain menunjukkan kemahuan yang kuat dan kerja keras dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk meraih tempat dalam skuad ini.
“Sekarang kita mesti berusaha menaikkan lagi mutu permainan kita agar kita dapat menunjukkan persembahan yang membuatkan rakyat Singapura bangga dan membantu mendapatkan keputusan yang kita mahukan,” katanya.
30 pemain bakal dinilai Ogura terlebih dahulu sebelum beliau mengumumkan skuad akhir ke PMEA pada 6 Disember ini.
The Lions bakal membuka kempen Kumpulan B PMEA dengan menentang Kemboja di Stadium Nasional Singapura pada 11 Disember ini.