Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui skrip ketika bertemu Kuching City iaitu kelekaan hujung permainan telah menafikan tiga mata berharga di gelanggang sendiri.
Ini selepas Kedah mencatatkan seri 2-2 bertemu Negeri Sembilan FC pada Sabtu dan kelekaan tersebut juga berlaku ketika bertemu Kuching City pada 26 Julai lalu yang mana menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.
Kelekaan pemain Kedah di hujung permainan telah menafikan sekurang-kurangnya dua kemenangan di tempat sendiri.
“Kita leka di separuh masa pertama, kita ketinggalan 1-0. Separuh masa kedua, kita bangkit dan mendahului 2-1. Saya rasa kesilapan kita jadikan kedudukan 2-2.
“Itulah kesilapan mudah seperti skrip yang berlaku ketika bertemu Kuching City di mana kita mendahului tapi minit akhir kita seri. Saya rasa kita kerugian mata, sepatutnya tiga mata yang kita patut dapat untuk hari ini.
“Kita kena perbaiki sebab saya rasa kita mungkin leka dan fokus kita hilang di saat-saat akhir permainan,” jelas Nafuzi seperti yang dikongsikan KDA FC di laman Youtube.
Kedah kini menduduki tangga ke-8 Liga Super dengan mengumpul 8 mata selepas 8 perlawanan. Kedah memulakan liga dengan ditolak tiga mata selepas gagal membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji pemain musim 2023.