Dengan Piala Dunia B-17 bakal berlangsung tidak lama lagi di Indonesia, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun telah membuat persiapan awal dengan menyertai kejohanan bola sepak remaja di Bali.
Ini selepas Orange Veins dan Bali United mengumumkan penganjuran kejohanan bola sepak remaja antarabangsa di pulau terkemuka itu.
Selain AS dan Jepun, pasukan lain yang mengambil bahagian ialah Kanada dan Mexico.
Pertandingan empat sebelah ini bakal diadakan dari 30 Oktober hingga 6 November ini. Kesemua perlawanan dijangka diadakan di pusat latihan milik Serdadu Tridatu.
Kejohanan ini bakal membantu pasukan-pasukan yang bertanding untuk menyesuaikan diri di Indonesia sebelum Piala Dunia B-17 bermula.
Piala Dunia B-17 bakal bermula dari 10 November sehingga 2 Disember ini.