Skuad Australia Bawah 19 Tahun (B-19) membuka kempen Kejuaraan ASEAN B-19 2024 dengan kemenangan apabila membelasah Laos 6-0 dalam aksi pertama Kumpulan B.
Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan untuk mencerahkan peluang layak ke separuh akhir sebagai jura kumpulan.
The Young Socceroos yang dibimbing Trevor Morgan terpaksa menunggu sehingga minit ke-16 untuk membuka tirai jaringan menerusi peledak Melbourne City, Arion Sulemani.
Tersentak, skuad muda Laos yang dibimbing Kanlaya Sysomvang berusaha mendapatkan gol penyamaan menerusi Peter Phanthavong tetapi gagal.
Sebaliknya, skuad muda Australia semakin selesa mendahului di Stadium Gelora 10 November, Surabaya menerusi Sulemani pada minit ke-25.
Australia memastikan mereka memiliki kelebihan 3-0 sehingga rehat apabila kapten, Marcus Younis menyumbat gol ketiga pada minit ke-45.
Bersambung selepas rehat, Australia terus menggandakan asakan bagi membolehkan mereka menerajui Kumpulan B dengan kelebihan jaringan.
Laos kemudiannya ditimpa malang apabila pemain pertahanan, Sisavath Keomoungkhoun terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan. Ini memaksa Kanlaya memasukkan Xayasouk Keovisone sebagai pemain gantian.
Morgan kemudiannya memasukkan empat pemain baru dengan tujuan merehatkan pemain untuk aksi seterusnya dalam Kumpulan B.
Younis seakan tidak percaya apabila rembatan kencangnya pada minit ke-70 mengenai palang sebelum bola dikeluarkan oleh pemain pertahanan Laos.
Pemain tengah Western Sydney Wanderers itu kembali ceria apabila meledakkan gol kedua peribadinya tiga minit selepas itu. Ini menjadikan Australia mendahului 4-0.
The Young Socceroos menambah jaringan kelima menerusi pemain gantian, Jake Najdovski pada minit ke-89. Najdovski mengikut jejak Younis dan Sulemani dengan meledakkan gol keenam pada minit ke-94.
Selepas ini, Australia akan menentang Vietnam pada 21 Julai. Sementara Laos pula perlu menang ke atas Myanmar pada hari sama jika ingin menghidupkan peluang layak ke separuh akhir.