Indonesia memulakan kempen Piala AFF Bawah 16 Tahun dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Singapura sebentar tadi.
Indonesia di bawah kendalian Nova Arianto menurunkan barisan terkuat bagi mendapatkan kemenangan pertama di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Aksi dimulakan dengan penguasaan penuh oleh Indonesia yang lebih selesa mengawal permainan melalui variasi hantaran yang tepat.
Peluang pertama buat Indonesia hadir pada minit ke-8 melalui percubaan jarak jauh Mathew Baker namun sedikit tersasar.
Penguasaan bola terus dipamerkan oleh Indonesia. Beberapa gerakan merbahaya juga hampir diterjemahkan kepada jaringan.
Di kala Indonesia sedang rancak menyerang, Singapura yang jarang menyerang telah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-28 selepas pengadil mengesan bola terkena tangan kapten Indonesia, Putu Panji.
Namun begitu, sepakan yang diambil kapten Singapura, Nathan Mao diselamatkan oleh penjaga gol Indonesia Muhammad Nur Ichsan. Kedudukan kekal terikat tanpa jaringan.
Hasil serangan bertali arus, Indonesia akhirnya berjaya di hadapan melalui penyudah Mierza yang menanduk masuk lontaran jauh dari Fabio Izka pada minit ke-40.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Indonesia meneruskan momentum menyerang bagi terus menjarakkan kedudukan.
Indonesia berjaya menambah jaringan kedua dalam perlawanan ini melalui sepakan penalti yang diambil oleh Evandra Florasta pada minit ke-59.
Singapura gagal mengawal bola dengan lebih lama apabila barisan pemain Indonesia pantas menutup ruang ketika diserang.
Ketika perlawanan hampir berbaki dua minit untuk ditamatkan, Fadly Alberto menceriakan ribuan penonton di stadium dengan gol ketiga melalui penyudah menarik pada minit ke-88.
Biarpun serangan demi serangan terus dilancarkan Indonesia, tiada tambahan jaringan terhasil sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-0 buat Indonesia.
Untuk aksi seterusnya, Indonesia bakal bertemu Filipina pada 24 Jun manakala Singapura bakal berdepan Laos pada tarikh yang sama.