Skuad muda Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menepati ramalan apabila muncul juara La Liga Youth Tournament 2024 untuk kategori Bawah 12 Tahun (B-12) dan Bawah 15 Tahun (B-15).
La Liga Youth Tournament merupakan kejohanan bola sepak remaja pertama dunia yang dilesenkan oleh La Liga. Kejohanan ini bertujuan mencari bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan dari Asia terutama di Asia Tenggara.
Pasukan yang bertanding bukan saja bersaing memburu kejuaraan mengikut kategori usia yang disertai. Malah, pemain terbaik kejohanan akan terpilih menerima biasiswa untuk menyertai kem latihan La Liga di Madrid, Sepanyol.
Menerusi perkongsian Johor Southern Tigers, pasukan JDT B-15 mara ke final kategori B-15. Ini selepas pasukan itu mengatasi Pengerang FC B-16 dan Destiny FDC B-16 di peringkat suku akhir dan separuh akhir.
Ubi muda Harimau Selatan kemudiannya bergelar juara apabila mengatasi cabaran wakil Thailand, Chiangmai FC B-16 2-1 di peringkat akhir.
Sementara JDT B-12 terpaksa melalui penentuan sepakan penalti untuk mengatasi cabaran AB Wira Muda dan wakil Thailand, Vachilarai United di peringkat suku akhir dan separuh akhir.
JDT B-12 muncul juara kategori 12 tahun apabila meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas ATHL Cobra di pentas final.
Selepas Malaysia, La Liga Youth Tournament 2024 akan diadakan di lokasi seterusnya, Filipina dan akan berlangsung dari 18 hingga 20 Oktober ini.