Skuad muda Kelantan meneruskan rentak cemerlang dalam Kumpulan A Piala Belia 2024 apabila menewaskan KL City FC hari ini.
Pasukan Pantai Timur itu mahu meraih kemenangan buat kali keempat selepas menewaskan Melaka 3-1 pada 18 Mei lalu.
Hasrat sama turut dizahirkan KL City yang dibimbing jurulatih, Muhammad Zamri Hassan @ Manap. Pasukan itu telah meraih kemenangan kedua ke atas Sri Pahang FC pada 26 Mei lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan The City Boys berusaha menembusi gawang pelawat menerusi penyerang, Anas Fikri Md Yazid.
Malangnya, setiap serangan yang direncana tuan rumah mudah digagalkan barisan pertahanan Kelantan diketuai kapten, Muhammad Izzat Azmi.
Kelantan juga berusaha mencari gol awal menerusi Muhammad Haikal Pauzi, Wan Muhammad Irfan Wan Zainudin dan Nik Muhammad Adib Aiman Mohd Zulkifli tetapi gagal.
Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha menggandakan serangan bagi mendapatkan gol.
Gol yang dicari pelawat akhirnya hadir pada minit ke-63 menerusi penjaring terbanyak mereka, Mohamad Norhafis Mohd Norhadi.
Tersentak, KL City cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Malangnya, setiap serangan yang diatur mudah diselamatkan penjaga gol Kelantan, Wan Muhd Afiq Wan Muhd Afandi.
Sebaliknya, pelawat mengesahkan kemenangan mereka menerusi Wan Muhammad Irfan pada minit ke-77. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Kelantan kekal di tangga ketiga Kumpulan A dengan 12 mata, tiga mata di belakang pendahulu kumpulan, Selangor FC. Sementara The City Boys kekal di tangga keenam dengan tujuh mata.
Selepas ini, Kelantan bakal menentang Negeri Sembilan pada 8 Jun di Stadium Mini UiTM Machang. Manakala KL City pula akan menentang Melaka pada 9 Jun di Stadium Hang Tuah, Melaka.