Skuad muda Vietnam terpaksa akur diikat Kemboja untuk berkongsi 1 mata berharga dalam Kejuaraan ASEAN B-16 2024 bagi aksi kumpulan B.
Vietnam dan Kemboja masing-masing memulakan kejohanan dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan pertama kumpulan B dan aksi kedua mempertemukan kedua-dua pasukan di Stadium Sriwedari.
Vietnam turun dengan lebih yakin apabila membelasah Brunei 15-0 sebelum ini manakala Kemboja pula menang tipis 2-1 ke atas Myanmar.
Aksi separuh masa pertama tampil seimbang antara kedua-dua pasukan yang saling menguji benteng pertahanan tetapi gagal membolosi gawang gol.
Vietnam dan Kemboja terpaksa berpuas hati menamatkan aksi babak pertama tanpa sebarang jaringan dengan kedudukan kekal 0-0.
Bersambung babak kedua, Nguyen Viet Long berjaya mencetak gol pertama perlawanan pada minit ke-57 untuk meletakkan Vietnam di hadapan.
Kemboja yang tersentak dengan jaringan tersebut bangkit 5 minit selepas itu untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan Phan Vreak.
Misi memburu gol diteruskan oleh kedua-dua belah pasukan tetapi tiada jaringan terhasil sehingga tamat perlawanan.
Vietnam dan Kemboja terpaksa berpuas hati berkongsi 1 mata dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan B dan masing-masing kini berjaya mengumpul 4 mata.
Vietnam seterusnya akan menentang cabaran Myanmar manakala Kemboja akan melawan pasukan Brunei.