Skuad muda Laos mencipta kejutan dengan menewaskan Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) ASEAN 2024 di Surakarta, Indonesia.
Kedua-dua pasukan tahu kemenangan perlu diraih dalam aksi pertama kumpulan jika ingin layak ke peringkat separuh akhir sebagai juara Kumpulan A.
Sebaik perlawanan bermula, Laos yang dibimbing Kanlaya Sysomvang tampil garang memburu kelebihan gol awal.
Malangnya, barisan pertahanan Filipina yang dibimbing jurulatih Jepun, Yuki Matsuda kerap menghampakan setiap percubaan yang digerakkan Laos.
Tatkala Filipina dilihat selesa menyerap asakan pihak lawan, gol yang dicari Laos akhirnya muncul pada minit ke-39. Pemain tengah, Daophahad Kamkasphou mudah menyempurnakan hantaran lintang untuk meletakkan pasukan itu di hadapan.
Tersentak, Filipina cuba bangkit mengejar untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Kanlaya terus ghairah memburu gol tambahan untuk mempertahankan kelebihan mereka.
Laos meraih gol kedua menerusi gol sendiri pemain pertahanan muda Filipina, Jimm Leowell Fabela pada minit ke-49. Fabela kecewa apabila cubaannya menghalang bola hantaran lawan menerjah masuk ke gawang sendiri.
Filipina hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh Tobias Paulino pada minit ke-58. Malangnya, percubaan itu berjaya disekat penjaga gol Laos.
Situasi Filipina tidak dibantu apabila Matsuda dilayangkan kad kuning oleh pengadil. Ini selepas pengendali Jepun itu kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan perlawanan yang dibuat.
Filipina terus berusaha merapatkan jurang gol tetapi gagal. Sebaliknya, Laos menambah satu lagi gol untuk menjadikan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Laos mengetuai Kumpulan A buat sementara waktu dengan tiga mata.
Walau bagaimanapun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya Indonesia meraih kemenangan ke atas Singapura dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Selepas ini, Laos akan menentang Singapura pada 24 Jun. Sementara Filipina pula wajib menang ke atas tuan rumah, Indonesia pada hari sama jika ingin menghidupkan peluang ke separuh akhir.