Sejak menjalani latihan di Akademi Aspire Qatar, skuad Malaysia B-17 yang dibimbing Osmera Omaro terus menunjukkan peningkatan. Selepas berjaya mengalahkan tiga lawan sebelumnya, Harimau Malaya membelasah lawan keempat mereka iaitu Al-Markhiyah dengan keputusan 7-0.
Perlawanan yang diadakan di Pusat Latihan Universiti Qatar malam tadi menyaksikan jentera serangan skuad B-17 semakin tajam menembusi gol lawan.
Aiman Yusuf Nabil dan Ezawi Azman Abdullah masing-masing menyumbat dua gol untuk Harimau Malaya B-17. Sementara Shakir Nasir, Irfan Zakwan Shamsul Azmi dan Aqim Hazmi Hasmadi pula masing-masing menyumbat satu gol.
Perkembangan positif ini sudah pasti menceriakan Osmera sebagai perangsang moral untuk Piala Asia B-17 di Thailand pada Jun ini.
Dengan pencapaian layak ke suku akhir pada edisi 2014, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melihat sasaran layak ke suku akhir untuk anak-anak buah Osmera sebagai sasaran yang boleh dicapai.