Skuad B-23 tahun negara berjaya mencatat kemenangan bergaya menewaskan India dalam satu perlawanan persahabatan tertutup.
Aksi pemanas badan yang berlangsung di Stadium Cheras malam semalam menyaksikan Malaysia tundukkan skuad muda India dengan keputusan 2-1.
Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad kendalian Juan Torres mendahului aksi dengan kelebihan satu gol menerusi jaringan sayap kanan, T. Saravanan pada minit ke-33 permainan.
Bersambung aksi di babak kedua permainan, pemain muda Perak, Alif Zikri terus menggandakan jaringan untuk gol kedua perlawanan.
Biarpun India cuba bangkit pada saat akhir selepas jaringan tunggal India diledak Chingangbam Shivaldo, Malaysia terus disiplin mengekang gawang daripada dibolosi hingga wisel penamat dibunyikan. Aksi tamat, Malaysia B23 2-1 India B23.
Perlawanan ini dilihat sebagai persiapan menjelang kejohanan Piala Asia B-23 2024 di Qatar, yang akan bermula pasa 15 April hingga 3 Mei kelak.
Skuad kendalian Juan Torres telah diundi dalam saingan Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait. Malaysia akan memukakan aksi pertama menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam pada 20 April dan Kuwait pada 23 April 2024.