Skuad Muda Malaysia ‘Titik’ Singapura 5-0
MakanBola
FA Malaysia
Sponsors

Skuad muda B-19 tahun Malaysia melakar kemenangan bergaya selepas menewaskan Singapura dalam aksi kedua kempen Kejuaraan ASEAN B-19 2024.

Anak buah Juan Torres Garrido turun dalam misi mencatat kemenangan kedua selepas meraih kemenangan 11-0 mengatasi Brunei dalam aksi pertama tempoh hari.

Ad

Babak di separuh masa pertama menyaksikan Malaysia mendahului perlawanan dengan keputusan 3-0. Gol pembukaan perlawanan dijaringkan pemain pertahanan, Ridzwan Rosli menerusi tandukan selepas menerima hantaran sepakan percuma daripada Muhammad Abu Khalil.

Ad

Selang lima minit selepas jaringan pertama terhasil, penyerang muda negara Naim Zainudin mencatat nama sebagai penjaring. Kesilapan yang dilakukan pertahanan Singapura telah dimanfaatkan Malaysia untuk gol kedua.

Pada minit ke-34 permainan, Singapura mendapat peluang keemasan untuk meledak. Pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti buat Singapura selepas G Pavithran dipersalahkan kerana mengasari lawan. Peluang itu bagaimanapun digagalkan penyerang Singapura, Kian Jared selepas penjaga gol Malaysia, Haziq Aiman bertindak cemerlang menyelamatkan gawang negara.

Ad

Sebelum perlawanan tamat, G. Pavithran menutup aksi di babak pertama dengan jaringan cantik menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Singapura, Tauf Erwan. Aksi di separuh masa pertama tamat, Malaysia 3-0 Singapura.

Ad

Bersambung aksi di babak kedua permainan, Juan Torres mula membuat pertukaran pemain dalam misi menambah kekuatan jentera serangan.

Percaturan pengendali Malaysia itu nyata membuahkan hasil apabila gerakan dua pemain gantian menatijahkan gol keempat buat Malaysia. Lorongan Abid Safaraz telah dimanfaatkan Faris Danish dengan tenang menyumbat bola ke gawang.

Pada minit ke-82 permainan, lontaran jarak jauh Malaysia terus menuju ke kawasan kotak penalti lawan telah dimanfaatkan penyerang gantian, Izzat Syahir yang menanduk bola ke gawang untuk gol kelima pasukan negara.

Sebelum aksi tamat, pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada Abid Safaraz selepas pemain JDT IV itu membuat terjahan keras terhadap pertahanan Singapura.

Aksi di Stadium Geloro Bung Tomo, Surabaya tamat dengan kemenangan milik Malaysia, Malaysia menang dengan keputusan 5-0 mengatasi Singapura.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran terakhir dalam saingan peringkat Kumpulan C berdepan Thailand pada Khamis, 25 Julai 2024. Malaysia ketika ini mengungguli di kedudukan teratas saingan Kumpulan C dan kemenangan menentang Singapura sebentar tadi sekaligus mengesahkan kemaraan pasukan negara ke pusingan separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-19 2024.