Skuad Muda Melaka Pamer Bisa Ikat Sabah
MakanBola
Melaka FA
Sponsors

Skuad muda Melaka mencipta kejutan dengan mengikat pasukan Sabah FC dalam aksi terbaru Kumpulan A Piala Belia 2024.

Meskipun tewas lima perlawanan sebelumnya, ini tidak mematahkan semangat Melaka untuk memburu mata pertama untuk musim 2024.

Ad

Keazaman sama turut ditampilkan Sabah untuk memburu kemenangan pertama untuk musim 2024. Sebelum ini, anak buah Aiyyman Shah Jonny Abdullah merekodkan dua keputusan seri dan tiga kekalahan.

Ad

Babak pertama menyaksikan skuad muda Badak tampil garang bagi mendapatkan kelebihan gol awal.

Malangnya, setiap serangan yang diatur berjaya dipatahkan barisan pertahanan pelawat diketuai penjaga gol, Aqiel Danish Mohd Nasir.

Ad

Tatkala tuan rumah ghairah memburu gol, mereka dikejutkan dengan gol pelawat pada minit ke-36 menerusi kapten, Nasruddin Sahad.

Ad

Tersentak, Sabah berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, skuad muda Badak terus berusaha menembusi gawang Melaka tetapi tidak berhasil.

Keadaan ini mendorong Aiyyman Shah membuat beberapa pertukaran pemain untuk menambah bisa di bahagian serangan.

Perancangan yang dibuat beliau membuahkan hasil apabila pemain gantian, Renddy Jumran muncul wira dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-96. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Sabah dan Melaka masing-masing di tangga kelapan dan kesembilan dengan dua dan satu mata.

Selepas ini, Melaka akan menentang KL City FC pada 9 Jun. Sementara Sabah tidak beraksi pada minggu hadapan kerana tiada jadual perlawanan membabitkan mereka pada minggu tersebut.