Skuad muda Thailand bermula langkah kanan dalam kejohanan AFF bawah 19 tahun apabila berjaya menundukkan cabaran Singapura untuk aksi pertama kumpulan C.
Skuad muda Thailand dan juga Singapura turun dengan misi penting untuk meraih tiga mata pertama setelah Malaysia membelasah Brunei dengan jaringan 11-0.
Sahoo Garv membuka tirai jaringan dalam perlawanan ini apabila berjaya membolosi gawang gol Thailand pada minit ke-26 permainan.
Tersentak dengan jaringan itu, Thailand cuba mencari gol penyamaan menerusi beberapa siri percubaan ke atas pintu gol Singapura tetapi gagal membuahkan hasil.
Aksi separuh masa pertama tamat menyaksikan Singapura mendahului Thailand dengan jaringan 1-0.
Babak kedua memperlihatkan skuad Thailand menggandakan asakan untuk merobek gawang gol lawan tetapi peluang keemasan pada minit ke-57 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Singapura.
Phongsakon Sangkhosopha menceriakan kem Thailand apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-80 permainan.
Gol tersebut berjaya menjadi tonik tambahan buat pemain Thailand memburu gol seterusnya dan sekali lagi gawang gol Singapura dibolosi dipenghujung perlawanan.
Ganesh Lahawiwat muncul wira Thailand apabila menghadiahkan gol kedua yang menjadi gol kemenangan pada minit ke-86.
Wisel penamat berbunyi menyaksikan Thailand bangkit menewaskan Singapura dengan keputusan jaringan 2-1.
Thailand meraih tiga mata pertama dalam kumpulan C bersama-sama Malaysia ketika ini manakala Singapura dan Brunei menerima kekalahan pertama.
Thailand seterusnya akan bertemu Brunei manakala Singapura akan menentang Malaysia untuk aksi kedua kumpulan C kejohanan AFF bawah 19 tahun.