Skuad Wanita Malaysia Atasi Cabaran Sengit Palestin
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita dengan langkah kanan apabila mengatasi cabaran Palestin pada Ahad.

Aksi pertama kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 menyaksikan Malaysia dan Palestin bertemu sesama sendiri di Dushanbe dengan misi untuk meraih 3 mata yang sulung.

Jurulatih Malaysia, Joel Cornelli menurunkan barisan terkuat dengan pemain-pemain seperti Steffi Sarge, Azurin Mazlan dan Intan Sarah menjadi sandaran utama Malayan Tigress ini.

Aksi berlangsung seimbang dengan Palestin dan Malaysia berusaha keras memburu jaringan ketika Intan Sarah miliki peluang terbaik di awal aksi namun sedikit tersasar di tepi tiang.

Pada minit ke-24, Palestin berpeluang cerah menjaringkan gol pertama apabila dihadiahkan tendangan penalti namun Azurin Mazlan bertindak cemerlang menepis sepakan Dima Alrumhi.

Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-0 Palestin.

Kembali dari rehat, perlawanan terus rancak dengan Malaysia dan Palestin saling mengatur gerak sambil beberapa gerakan nyaris memberikan jaringan pertama buat kedua-dua negara.

Ketika permainan berbaki 5 minit untuk dimainkan, pemain gantian, Farahiyah Ridzuan muncul heroin Malayan Tigress dengan jaringan tunggal hasil lorongan cantik Nur Adrienna.

Pertemuan di Stadium Central, Dushanbe ini berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Malaysia.

Aksi seterusnya bakal menyaksikan Malaysia akan berdepan ujian mencabar menentang tuan rumah, Tajikistan manakala Palestin akan bertemu pasukan di ranking ke-9 dunia, Korea Utara pada 2 Julai.