Malaysia meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Tajikistan dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 pada awal pagi Khamis.
Setelah menewaskan Palestin dalam aksi sulung kumpulan H lalu, pasukan wanita Malaysia turun membawa misi mencatat kemenangan kedua bagi memastikan tiket ke Piala Asia tetap menyala.
Manakala lawan Malaysia, Tajikistan yang beraksi di hadapan penyokong sendiri memasang impian besar bagi bangkit dari kekalahan 0-10 di tangan Korea Utara pada aksi pertama lalu.
Tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh ketua jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli dengan Steffi Sarge, Ainsyah Murad dan Azurin Mazlan kekal di dalam kesebelasan utama.
Permainan dilihat seimbang dengan penguasaan bola hampir ketara antara kedua-dua pasukan meskipun ada usaha untuk memburu jaringan yang digerakkan dari sebelah sayap kanan dan kiri.
Pasukan wanita negara berpeluang cerah mencipta jaringan pembukaan pada minit ke-16 hasil rembatan Nur Fazira Sani namun sepakan kaki kirinya itu hanya mengggegar tiang gol.
Kubu kuat Malayan Tigress juga tampak diancam hebat oleh Tajikistan namun mujur aksi tangkas Azurin Mazlan berhasil mengekang hasrat tuan rumah untuk meraih jaringan sulung.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-0 Tajikistan.
Kembali dari rehat, skuad wanita kebangsaan berusaha keras untuk memecah kebuntuan jaringan dengan larian deras Nur Adrienna Zamzaihiri kerap kali mengucar-kacirkan bek lawan.
Joel Cornelli mengambil keputusan untuk membawa masuk Farahiyah Ridzuan di penghujung aksi bagi menambah bisa jentera serangan Malayan Tigress memburu gol di saat akhir.
Jaringan yang dicari akhirnya menjelma di masa kecederaan apabila hantaran Intan Sarah ditanduk kemas oleh Henrietta Justine yang baru dimasukkan untuk gol tunggal perlawanan.
Perlawanan di Stadium Central, Dushanbe berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Malaysia.
Ujian getir menanti skuad Malayan Tigress dalam perlawanan terakhir kumpulan H apabila wajib menumpaskan pasukan di ranking ke-9 dunia, Korea Utara untuk ke Piala Asia Wanita.