Antonio Conte Bagi ‘Amaran’ Kepada Pengurusan Spurs
EPL
Tottenham Hotspur/EPA
Advertisements

Ramai penyokong Tottenham Hotspur tidak terlalu menaruh harapan tiga mata untuk perlawanan EPL awal pagi tadi. Ini kerana lawan mereka ialah juara bertahan Manchester City. Dengan Spurs bertandang ke Stadium Etihad dengan kekalahan tiga perlawanan berturut-turut sebelumnya, mereka tampil sebagai pasukan bukan pilihan.

Tetapi pada akhir perlawanan, yang pulang dengan duka ialah penyokong tuan rumah. Sementara penyokong Spurs merasa gembira yang teramat apabila ayam tambatan mereka, Harry Kane menyumbat gol kemenangan pasukan pelawat. Dan ia turut membuktikan magis Conte sebagai pengurus berwibawa walaupun dengan sumber terhad dan pemain yang tidak konsisten.

Mungkin ada yang memandang sinis label pengurus berwibawa kepada Conte. Tetapi hakikatnya, hanya tiga orang pengurus yang berjaya merekodkan 90 mata atau lebih dalam sejarah EPL. Mereka ialah Jurgen Klopp (Liverpool), Pep Guardiola (Manchester City) dan Conte. Beliau juga menjulang lapan kejuaraan liga dan domestik bersama Juventus, Chelsea dan Inter Milan.

Advertisements

Kali terakhir Spurs menewaskan juara liga sebanyak dua kali ialah pada musim 1986-1987. Tetapi kemenangan ini ditambah dengan temubual kontroversi Conte dengan Sky Italia baru-baru ini, ia merupakan mesej kepada pengerusi kelab Daniel Levy: sokong, bukan kekang kemampuan pengurusan beliau!

Walaupun kenyataan Conte amat pedas tetapi ia mendedahkan satu kebenaran pahit: pasukan ini memerlukan lebih ramai pemain berkualiti. Benar, Spurs masih ada pemain berkualiti seperti Kane dan Son Heung-min. Tetapi ada juga yang dilihat merudum dan perlu dijual seperti Davinson Sanchez, Joe Rodon dan Ben Davies.

Sentimen Conte terhadap skuad Spurs sebenarnya bukan perkara baru. Bekas pengurus Espanyol, Mauricio Pochettino pernah mengeluh tentang perkara sama beberapa musim sebelumnya. Tetapi ia tidak diendahkan Levy. Dengan skuad yang ada, agak sukar untuk Spurs kembali menjadi pencabar liga semasa era Pochettino.

Advertisements

Conte juga tidak teragak-agak melastik falsafah Spurs yang memberi fokus kepada pembelian dan pembangunan pemain muda. Sekiranya mahu bergelar pencabar kejuaraan, pemain berpengalaman perlu dibawa masuk bagi menjadikan mereka lebih berdaya saing. Malangnya, ia dipandang sepi oleh Levy atas alasan ia tidak berbaloi dari segi kewangan.

Ini juga menjelaskan sebab hanya dua pemain dibawa masuk pada musim perpindahan Januari, Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur. Kedua-duanya memenuhi profil pemain yang mengikut falsafah kelab berkenaan, bukan mengikut keperluan pengurus Itali itu. Situasi ini bukan saja menjengkelkan Conte tetapi memperlihatkan kelemahan pengarah sukan Spurs, Fabio Paratici.

Semasa dibawa masuk pada awal musim, Paratici diharap dapat mereplika kejayaan Paul Mitchell dalam mengenalpasti pemain berkualiti untuk Spurs. Malangnya, rekod perpindahannya dianggap kurang memuaskan dengan melihat prestasi Bryan Gil dan Pierluigi Gollini. Paratici juga gagal membawa semua pemain sasaran Conte termasuk Luis Diaz yang kini bersama Liverpool.

Advertisements

Ketidakcekapan bekas pengarah sukan Juventus itu sudah lama diketahui di Stadium Juventus. Banyak pembeliannya untuk La Vecchia Signora dianggap membazir seperti Aaron Ramsey, Bentancur, Kulusevski, Arthur, Adrien Rabiot dan Weston McKennie. Ironinya, kedua-dua Kulusevski dan Bentancur menyertai Conte dan Paratici di Spurs.

Ini mengundang persoalan tentang masa depan beliau di Tottenham. Dengan keupayaan yang terhad, lambat-laun Conte akan meninggalkan Spurs. Ini telah dibuktikan di Inter Milan pada musim lepas apabila beliau meletak jawatan pada akhir musim. Ini selepas pengurusan Inter mahu menjual ramai pemain termasuk Romelu Lukaku untuk mengatasi masalah aliran wang tunai kelab.

Conte pasti tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kelicikannya mengakali Guardiola dalam perlawanan semalam jelas menunjukkan keperluan menyokong Conte sepenuhnya. Tetapi selagi Levy enggan berbuat demikian dan Paratici tidak belajar daripada kesilapan lamanya, penyokong Spurs tahu orang seperti Conte tidak akan bertahan lama.

Advertisements

Ketidaktentuan masa hadapan Conte juga dijangka menguatkan lagi keazaman Kane untuk meninggalkan kelab. Selepas dinafikan peluang berpindah pada pra-musim. beliau pastinya akan cuba mengusahakan perpindahan ke kelab baru pada akhir musim.

Ini termasuk kemungkinan bersatu semula dengan Pochettino di Manchester United sekiranya bekas bos Southampton itu dipilih sebagai pengurus baru.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram