Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Soleen Al-Zoubi yakin dengan kemampuan Malaysia untuk layak ke pentas Piala Dunia suatu hari nanti.
Beliau yang ditemui ketika di FAS Women’s Super League berkata perkembangan liga yang baik bermula daripada persiapan pasukan yang rapi agar kualiti pasukan wanita kebangsaan dapat dipertingkat.
“Kita perlukan persiapan yang rapi, perjalanan baik dengan berkembangnya liga di Malaysia”, katanya ketika forum.
Jurulatih kelahiran Jordan ini berpendapat bahawa liga bola sepak wanita masih tidak diberi pendedahan dan berharap Malaysia dapat memanfaatkan peluang ini.
“Di dunia juga tak banyak lagi liga dan negara yang memberi fokus kepada bola sepak wanita”, katanya lagi.
Beliau yang memegang jawatan sejak 2022 melihat potensi yang besar dimiliki para pemain wanita di Malaysia, dan sekiranya dilengkapi fasiliti, program pembangunan dan struktur liga yang baik, peluang untuk mara jauh lebih cerah.
“Jika kita ada segalanya (fasiliti, program pembangunan dan struktur liga yang baik), kita akan ke Piala Dunia”, tegas beliau.
FAS Women’s Super League merupakan inisiatif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menambahbaik kualiti bola sepak wanita negara yang melibatkan penyertaan 14 pasukan pada musim kali ini.