Somyot Kekal Presiden FA Thailand

Somyot Poompanmoung FA Thailand 2 Somyot Kekal Presiden FA Thailand
FA Thailand
Azim Noor @mohdazim45
6:27pm 03/07/2023

Selepas sebelum ini mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), hari ini Jen. Pol. Dr. Somyot Poompanmoung kekal sebagai pemimpin organisasi itu.

Keputusan tersebut diambil oleh Majlis FAT selepas satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu perletakan jawatan beliau.

Sebelumnya, Somyot diberitahu permohonan perletakan jawatannya tidak diluluskan oleh majlis tersebut disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan sebab yang diberinya.

Somyot meletak jawatan sebagai Presiden FAT pada 1 Julai lalu selepas digesa berbuat demikian oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Thailand (NOC), Prawit Wongsuwan.

Wongsuwan yang juga Pemangku Timbalan Perdana Menteri (TPM) Thailand membuat gesaan tersebut selepas Thailand gagal memenangi pingat emas Sukan SEA 2023. Beliau juga mahu Somyot bertanggungjawab atas insiden pergaduhan pada aksi final temasya berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan itu mengundang persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak Thailand kerana gesaan Wongsuwan boleh disifatkan sebagai arahan kepada Somyot.

Jika itu berlaku, ini bermakna Gajah Perang berpotensi dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Hal ini turut diakui oleh Somyot hari ini kepada SiamSport di mana beliau menyifatkan gesaan tersebut sebagai cubaan campur tangan ke atas FAT.

Bagi mengelak polemik ini daripada berterusan, pihak majlis bersetuju mengekalkan beliau sebagai Presiden FAT sehingga tamat penggal pada Februari 2024. Keputusan tersebut dilihat dapat mengelakkan FAT daripada dikenakan tindakan keras oleh FIFA.

Ini sudah pastinya melegakan jurulatih Gajah Perang, Mano Polking kerana perancangan beliau untuk skuad kebangsaan Thailand dapat diteruskan. Ini termasuk mengatur persiapan ke Piala Asia 2023 yang akan diadakan pada awal tahun hadapan.