Pemain bintang Korea Selatan, Son Heung-min melaungkan keyakinan dengan masa depan bola sepak Singapura biarpun pasukan itu dibelasah Korea Selatan 0-7 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 tempoh hari.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura itu, Son menganggap ianya merupakan perlawanan yang sukar buat Korea Selatan.
Namun begitu, yang membezakan di antara kedua-dua pasukan adalah dari segi menyudahkan peluang terhidang atau lebih tepat dengan perkataan ‘klinikal’.
“Pertama sekali, saya rasa perlawanan (menentang Singapura) adalah sukar di separuh masa pertama. Kami lebih klinikal dan menyudahkan peluang dengan baik.
“Bola sepak Singapura membangun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tapi saya rasa mereka membangun terlalu pantas. Kadangkala bila terlalu cepat membangun, jangkaan peminat akan menjadi lebih besar.
“Bola sepak tidak berubah hari ke hari. Anda kena bersabar. Anda kena berkorban. Anda kena luangkan lebih masa sebelum jumpa solusi terbaik. Saya doakan Singapura sukses di masa hadapan,” jelas Son Heung-min kepada Futbolita.
Singapura kini di tangga terbawah Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan hanya mengumpul 1 mata selepas 5 perlawanan. Singapura akan melengkapkan jadual kelayakan dengan aksi terakhir menentang Thailand pada 11 Jun ini.