Kapten Korea Selatan, Son Heung-min mengakui hampir memutuskan untuk bersara dari pentas antarabangsa selepas kempen Piala Asia 2023.
Agensi berita Yonhap melaporkan perkara tersebut ada terlintas dalam kepala penyerang Tottenham Hotspur itu selepas tewas 2-0 kepada Jordan di peringkat separuh akhir.
Bagaimanapun, pada akhirnya, Heung-min memilih untuk terus beraksi kerana sokongan padu yang diberi penyokong.
“Bermain untuk pasukan kebangsaan merupakan janji antara saya dengan penyokong. Saya mahu memenuhi janji berkenaan.
“Saya akan terus bekerja keras dan bermain. Dan saya harap saya dapat menjadi orang yang lebih kuat agar saya tak terfikir untuk bersara sekali lagi,” katanya.
Heung-min turut mendedahkan legenda Manchester United dan Korea Selatan, Park Ji-sung memberi nasihat agar beliau terus beraksi untuk Korea Selatan.
“Saya tak pernah pandang remeh kedudukan saya dalam pasukan kebangsaan – saya rasa bersyukur dan melihat ia satu penghormatan setiap kali (beraksi).
“Tapi jika saya hanya fikirkan tentang diri saya, saya fikir saya akan bersara,” tambahnya lagi.
Heung-min dijangka mengetuai cabaran Korea Selatan menentang Thailand dalam aksi keempat kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Rajamangala malam ini.
Beberapa hari sebelumnya, Pahlawan Taeguk diikat 1-1 oleh skuad Gajah Perang dalam aksi ketiga Kumpulan C.