Kapten Korea Selatan, Son Heung-min tidak menolak kempen Piala Dunia 2026 sebagai kempen Piala Dunia terakhirnya bersama pasukan itu sekiranya layak ke kejohanan berkenaan.
Kenyataan ini dibuat dalam sidang media pra-perlawanan kelayakan Piala Dunia membabitkan Singapura dan Korea Selatan semalam.
Heung-min bersikap realistik dengan kemungkinan itu memandangkan usianya kini sudah mencecah 31 tahun.
Penyerang Tottenham Hotspur itu mewarnai saingan Piala Dunia bersama Korea Selatan untuk tiga edisi iaitu 2014, 2018 dan 2022. Edisi 2022 dianggap manis buat Heung-min kerana berjaya membawa pasukan itu ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Justeru, beliau mahu memanfaatkan pengalaman yang dimiliki untuk membimbing generasi pemain baru yang membarisi Pahlawan Taeguk.
Ini membolehkan generasi baru ini mampu terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk di pentas Piala Dunia.
“Saya fikir kita boleh layak ke Piala Dunia 2026. Saya tak hidup pada masa depan, bukan juga pada masa silam. Saya hanya fikir tentang sekarang. Saya fikir tentang dua perlawanan di hadapan saya sekarang.
:Terdapat ramai pemain muda dalam pasukan kebangsaan daripada apa yang saya jangkakan. Saya bukan dalam kedudukan untuk mengajar anda semua tetapi saya mahu beritahu apa yang saya rasa dan belajar.
“Perjalanan ke Piala Dunia memang panjang. Akan ada saja halangan di hadapan. Adakalanya anda akan merasa pasang surut perjalanan ini. Anda perlu meredah laluan mencabar.
“Pada masa begini, pemain-pemain berpengalaman sepatutnya mendapat perlindungan yang baik. Saya mahu memastikan saya boleh melakukannya dengan baik,” katanya seperti dilaporkan Sports Chosun.
Korea Selatan memulakan kempen Kumpulan C menentang Singapura di Stadium Piala Dunia Seoul hari ini.