Kapten Korea Selatan, Son Heung-min mengakui aksi kelayakan Piala Dunia 2026 kali ini cukup mencabar buat pasukan itu.
Meskipun Pahlawan Taeguk masih belum tewas dalam Kumpulan B, pasukan itu merekodkan empat kemenangan dan tiga keputusan seri.
Terbaru, Korea Selatan diikat 1-1 dengan Oman dalam aksi terbaru kumpulan di Goyang. Gol Ali Al Busaidi memadamkan gol awal tuan rumah menerusi Hwang Hee-chan.
Situasi Pahlawan Taeguk tidak dibantu dengan beberapa pemain pasukan itu mengalami kecederaan. Hal ini menunjukkan bukan mudah buat Korea Selatan untuk melepasi pusingan ketiga kelayakan.
“Sebagai rakan sepasukan dan kawan, ia cukup menyedihkan melihat pemain-pemain mengalami kecederaan. Saya tak tahu sama ada kecederaan mereka serius atau tidak tapi saya harap ia tidak teruk,” katanya seperti yang dilaporkan Sports Chosun.
“Orang fikir pusingan kelayakan akhir (ketiga) ini mudah tetapi bola sepak Asia sudah bertambah dan setiap perlawanan (kelayakan Piala Dunia) sukar.
“Kita perlu lebih bersedia dan mengkaji lawan kita dengan lebih baik. Saya percaya perlawanan hari ini merupakan satu pengajaran buat kita.”
Korea Selatan kini mengalihkan fokus kepada aksi menentang Jordan di Suwon pada 25 Mac.