Sri Pahang Akur Dengan Keputusan FAM
MakanBola
Sri Pahang FC

Sri Pahang FC akur dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengekalkan penggantungan Kpah Sherman.

Ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang apabila diminta mengulas keputusan badan induk itu.

Sebelum ini, pengurusan Tok Gajah telah menghantar surat rayuan kepada FAM berhubung status penggantungan penyerang Liberia itu.

Ini kerana Kpah mengutip dua kad kuning sepanjang Unifi Piala Malaysia. Situasi ini menyebabkan beliau perlu menjalani penggantungan untuk aksi final yang akan berlangsung pada 26 April ini.

Selepas menimbang rayuan yang difailkan Sri Pahang, FAM memaklumkan status penggantungan Sherman dikekalkan. Ini bermakna beliau terpaksa melupakan aksi final Unifi Piala Malaysia.

Suffian mengakui kecewa kerana ini bermakna Sri Pahang perlu beraksi tanpa penyerang utama mereka di pentas final.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pengurusan Tok Gajah menghormati keputusan yang dibuat FAM berhubung status Sherman.

“Ya, ia sedikit mendukacitakan dari segi penerimaan berita bahawa Kpah Sherman tidak dapat bersama dalam kesebelasan utama di pentas final.

“Tapi kita akur dengan keputusan FAM dan itu merupakan keputusan FAM kepada Kpah Sherman,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Suffian juga percaya barisan kejurulatihan Sri Pahang diketuai Fandi Ahmad sudah memiliki resepi tersendiri untuk aksi final nanti.

“Kita harus memberi kepercayaan kepada barisan kejurulatihan khususnya jurulatih, Fandi Ahmad dan dibantu Dato’ Dollah Salleh yang berpengalaman.

“Yang pasti mereka akan mencongak barisan pemain dengan taktikal tersendiri. Dan Insya Allah, itu akan menjelmakan persembahan terbaik untuk Sri Pahang FC,” ujarnya.

Sri Pahang bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final pada 26 April ini. Ini kali pertama Tok Gajah mara ke final sejak bergelar juara pada 2014.