Dengan jendela perpindahan kedua Liga Super dibuka awal bulan hadapan, kebanyakan pasukan sudah mula merancang strategi membawa masuk muka baharu bagi memperkuatkan pasukan. Sri Pahang FC juga tidak ketinggalan.
Difahamkan, Sri Pahang semakin hampir untuk membawa seorang lagi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) secara pinjaman. Pemain yang dimaksudkan adalah pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid yang juga merupakan salah seorang kapten skuad kebangsaan.
“Pastinya kehadiran Safawi Rasid bersama Sri Pahang amat dinanti-nantikan menerusi kebolehannya. Namun, kami masih dalam penantian. Kami tidak ada kepastian mengenai Safawi, kami masih menunggu.
“Kalau dia ada keinginan dan juga di atas keizinan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk membenarkannya bermain di sini. Terpulang kepada JDT dan kami terbuka untuk menerima sekiranya Safawi ingin hadir ke bumi Pahang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang kepada Astro Arena.
Jika perpindahan Safawi ke Sri Pahang menjadi kenyataan, ini bermakna Safawi merupakan pemain pinjaman keempat dari JDT yang beraksi bersama Sri Pahang musim ini selepas Azrif Nasrulhaq, Izham Tarmizi dan Syazwan Andik menyertai skuad ‘Tok Gajah’ itu pada awal musim.
Untuk rekod, Safawi baru sahaja kembali ke JDT selepas tamat tempoh pinjaman bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC. Bersama Ratchaburi, Safawi telah diturunkan dalam 13 perlawanan dan berjaya meledak satu gol. Kontrak Safawi di JDT dijangka tamat pada penghujung musim 2023.