Proses penswastaan pasukan di dalam Liga Malaysia ternyata bukanlah satu perkara yang asing selepas beberapa pasukan berjaya membuktikan bahawa mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri tanpa dana kerajaan.
Namun saban tahun pasti ada kontroversi yang melanda beberapa pasukan di Liga Malaysia yang membabitkan isu lambat dalam membayar gaji dan beberapa lagi isu yang berulang setiap tahun.
Pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan FC, Petaling Jaya City FC (PJ City) dan yang terbaru Sri Pahang adalah antara empat pasukan yang menjalankan proses penswastaan pasukan dengan jayanya apabila menjalankan operasi kelab tanpa bantuan dana dari kerajaan negeri.
Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, skuad Sri Pahang adalah antara empat kelab yang tidak lagi menggunakan bantuan dana dari kerajaan negeri.
Katanya, pasukan lain turut sedang berusaha untuk mengikut jejak empat pasukan terbabit dan beliau percaya menjelang 2023 nanti kesemua pasukan tidak akan lagi bergantung dengan dana kerajaan negeri masing-masing.
“Ambil contoh JDT, Kelantan dan PJ City, mereka ini adalah model untuk pasukan-pasukan yang ada sekarang. Saya difahamkan banyak pasukan sedang ke arah itu (tidak guna dana kerajaan).
“Saya difahamkan Pahang tidak menggunakan dana kerajaan. Yakin dan percaya, kebanyakan pasukan akan berubah dan bergerak atas kaki sendiri,” katanya kepada Arena Metro.
Untuk tahun ini, Liga Malaysia dicemari dengan beberapa isu melibatkan tunggakan gaji terutamanya pasukan yang masih diuruskan oleh kerajaan negeri.
Dua pasukan dari utara semenanjung iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC adalah antara dua pasukan yang menghadapi isu berkaitan tunggakan gaji. Difahamkan, pengurusan Perak FC sedang mencari pemilik baharu yang sanggup membeli pasukan itu dengan tanda harga RM10 juta.
Manakala bagi pasukan Kedah, masalah pembayaran gaji yang melanda pasukan diselesaikan oleh Menteri Besar yang juga merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor beberapa hari sebelum aksi suku akhir Piala Malaysia menentang JDT minggu lalu.