Sri Pahang Tagih Sokongan Penyokong Akhiri Penantian 11 Tahun
MakanBola
Sri Pahang FC

Sri Pahang FC berharap ramai penyokong dapat hadir untuk aksi final Unifi Piala Malaysia pada 26 April ini.

Hasrat itu dizahirkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang apabila mengulas jumlah tiket yang terjual untuk aksi berkenaan.

Beliau memaklumkan setakat ini, hanya 35% atau 11,550 daripada 33,000 tiket pasukan itu yang terjual sejak jualan secara dalam talian dibuka pada 19 Mac lalu.

Suffian berharap penyokong segera mendapatkan tiket yang masih berbaki. Ini kerana sokongan mereka mampu membantu Tok Gajah mengakhiri penantian trofi Unifi Piala Malaysia sejak tahun 2014.

“Penjualan tiket ketika ini agak perlahan sedikit. Daripada 33,000, setakat ini sebanyak 35% saja yang terjual,” katanya kepada Nadi Arena.

“Inilah masanya selepas 11 tahun kita menunggu dan alhamdulillah, pada 26 April nanti kita akan menjelmakan final Piala Malaysia untuk sesi 2024-2025.

“Saya menyeru kepada semua penyokong dan penyokong tegar, datanglah dan beli tiket sebelum kehabisan nanti. Untuk semua dapat hadir dan memberi sokongan padu sebagai pemain ke-12 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April nanti.”

Sri Pahang bakal berdepan cabaran juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final. Cabaran Tok Gajah dijangka lebih sukar tanpa kelibat Kpah Sherman.

Meskipun sudah memfailkan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), FAM memutuskan untuk mengekalkan status penggantungan perlawanan Sherman.