Sri Pahang Tak Seperti Kelab Lain, Masih Ada Yang Sayang & Setia
MakanBola
Sri Pahang FC

Ramai penyokong Sri Pahang FC berharap pasukan itu dapat mengubah pendirian untuk kekal dalam Liga Super musim hadapan.

Sebelum ini, pemilik pasukan, YAM Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memaklumkan pasukan itu tidak akan beraksi dalam liga untuk musim 2025/26.

Susulan itu, ramai penyokong berharap pendirian tersebut dapat diubah. Ini kerana jika Sri Pahang kekal dengan keputusan menarik diri, ini bukan saja satu kehilangan buat penyokong pasukan itu.

Malah, ia dilihat satu kehilangan besar buat saingan Liga Malaysia (Liga M). Perkara ini dinyatakan penyokong Tok Gajah, Muhammad Saifullah Suhaimi.

“Sebagai penyokong Sri Pahang, kami amat tidak bersetuju jika kelab ini memilih untuk tidak beraksi musim depan.

“Pasukan Sri Pahang wajib ada dalam kancah liga untuk terus beri saingan kepada pasukan lain terutama JDT. Kita tahu kekuatan mereka, tapi tak salah untuk bersaing,” katanya.

Atas sebab itu, Saifullah mengharapkan keajaiban berlaku buat Sri Pahang termasuk perubahan pemilikan pasukan.

“Kami hanya mampu menunggu pemilik baharu untuk ambil alih. Situasi bola sepak Sri Pahang tidak sama macam pasukan lain. Tapi kami masih percaya, pasukan ini belum berakhir. Masih ada yang sayang, masih ada yang setia dan sedia bersama.

“Kalau Sri Pahang buat pusingan U untuk terus beraksi musim depan, kami akan teruskan sokongan. Tanpa bola sepak Sri Pahang, sepi hidup kami sebenarnya,” tambahnya.

Tok Gajah menamatkan musim 2024/25 di tangga kelapan liga dengan 29 mata. Pasukan itu juga berjaya mara ke peringkat akhir Unifi Piala Malaysia.