Pembinaan stadium baharu dan fasiliti sukan di sekitarnya buat pasukan Selangor ini dikhabarkan bakal diinspirasikan oleh Stadium Johan Cruyff Arena, Amsterdam, Belanda.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau menjangkakan bahawa projek ini bakal bermula seawal tahun hadapan dan siap kira-kira pada tahun 2026.
Mengulas lanjut, sungguhpun projek ini menelan belanja yang agak tinggi, namun Amirudin menjelaskan bahawa beliau mahu memberikan stadium yang mempunyai taraf yang tinggi buat pasukan The Red Giants.

Oleh yang demikian, Amirudin memberi gambaran bahawa pembinaan stadium baharu Selangor ini bakal diinsiprasikan oleh Johan Cruyff Arena di Belanda.
“Stadium Shah Alam ini bakal diinspirasikan berdasarkan Stadium Ajax Amsterdam.“

Stadium yang dibina pada tahun 1996 ini juga telah menelan belanja sebanyak 140 Juta Euro menjadi antara salah satu stadium terbaik di Eropah pada ketika ini.
Malah, stadium kebanggaan pasukan Ajax Amsterdam ini mampu memuatkan sehingga 55 ribu orang penonton untuk menyaksikan perlawanan.
Hal ini juga sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh Amirudin apabila beliau menyatakan bahawa perancangan Selangor adalah untuk mewujudkan stadium dengan kapasiti jumlah yang hampir sama.
“Kapasiti stadium juga dijangka sekitar 60,000 ke 70,000 penonton,” katanya.

Stadium Shah Alam ketika ini berusia 28 tahun itu difahamkan telah mengalami kerosakan termasuk bilik persalinan, bekalan elektrik, tempat duduk penonton ekoran beberapa kejadian banjir pada sebelum ini.
Perancangan ini juga melibatkan pembangunan bandar sukan (sport city) di sekitar kawasan stadium dan bakal diadakan pameran mengenai pembangunan kompleks pada September ini bagi membolehkan orang awam memahami dengan lebih lanjut tentang perancangan ini.