Final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bakal diadakan di Stadium Bishan, Singapura.
Isu lokasi final ACL2 panas apabila kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharjah FC memohon final kejohanan itu tidak diadakan di Stadium Jalan Besar.
Sharjah berpandangan dengan status final kejohanan yang berprestij itu, kapasiti stadium yang kecil dan padang tiruan Stadium Jalan Besar dilihat tidak sesuai sebagai tuan rumah.
Susulan itu, kelab Singapura, Lion City Sailors (LCS) membidas kenyataan kelab Asia Barat itu. LCS memaklumkan Stadium Jalan Besar sudah memenuhi semua peraturan dan syarat AFC.
Atas sebab itu, The Sailors menggesa AFC untuk mengekalkan aksi final ACL2 di Singapura. Ini kerana ia bersifat menang-menang buat semua pemegang taruh termasuk bola sepak Singapura.
Kini, AFC telah memutuskan Stadium Bishan sebagai tuan rumah aksi final kejohanan itu pada 18 Mei ini.
Ini selepas badan induk bola sepak Asia itu telah mengemas kini maklumat aksi final berkenaan di laman sesawang rasmi mereka.
LCS dan Sharjah mara ke final selepas mengetepikan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir. Sharjah mara dengan mengalahkan Al-Taawoun.
The Sailors pula mengikut jejak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC mara ke final dengan mengalahkan Sydney FC.