Tidak lama lagi, sebuah stadium khas bola sepak bakal wujud di Kuala Lumpur. Stadium ini merupakan cetusan idea legenda bola sepak negara dan Kuala Lumpur, Dato Subadron Aziz.
Stadium ini bakal dibina dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor selepas beliau pulang dari menunaikan ibadat haji di Baitullah. Stadium ini akan dikenali dengan nama Kompleks Sukan Mini Dato Subadron Aziz.
Majlis pecah tanah telah dibuat sekitar November tahun lepas dan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Stadium yang akan dibina di Fasa 9 Sri Gombak, Selangor ini dijangka menelan belanja RM10 juta. Ia dijangka akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti blok asrama, cafe dan gimnasium.
Buat permulaan, dua buah padang bola dan sebuah bangunan pentadbiran akan dibina terlebih dahulu. Ia dijangka menelan belanja kira-kira RM6 juta dan dijangka siap dalam masa dua tahun.
Bagi Subadron, dengan terbinanya stadium ini, ini akan membantunya mencungkil lebih ramai bakat-bakat baru bola sepak negara terutama sekitar Gombak.
“Dari data yang kita terima, Gombak banyak melahirkan bakat bakat baru bola sepak tanah air. Oleh kerana itu, kami amat bersemangat untuk membina kompleks sukan mini ini untuk dijadikan salah satu pusat pengeluar bakat bola sepak negara,” katanya kepada Vocket FC semasa berada di Tanah Suci.
Projek Kompleks Sukan Mini Dato Subadron Aziz ini dijalankan bersama Pertubuhan Pewaris Anak-Anak Melayu Gombak (PEWARGA).
Ia dijangka memberi faedah kepada masyarakat sekeliling termasuk menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan baru kepada warga Gombak dan kawasan sekitarnya.