Stadium Shah Alam Didakwa Diabaikan
MakanBola
KSSA

Satu ketika dahulu, Stadium Shah Alam (SSA) menjadi antara stadium bola sepak utama di Malaysia. Malah, stadium itu juga pernah menjadi tuan rumah pelbagai acara hebat seperti final Piala Malaysia dan final Piala FA.

Meskipun begitu, tiada siapa menyangka isu keadaan stadium itu yang terabai pada tahun-tahun terakhirnya menjadi bahan kempen politik.

Ini selepas salah seorang penggerak kempen Barisan Nasional (BN), Eric See -To membidas Pakatan Harapan (PH) berhubung rekod mereka dari segi penyelenggaraan kemudahan sukan di Selangor sejak 2008.

See-To menyifatkan meskipun SSA berusia 14 tahun pada ketika itu, ia bukan saja stadium lama. Malah, ia juga dilihat masih muda dengan mengambil kira hayat stadium besar yang wujud.

Apa yang menghairankan See-To ialah SSA dilihat terabai sepanjang tahun-tahun pemerintahan PR dan kemudiannya PH. Beliau mendakwa isu penyelenggaraan yang teruk mengakibatkan SSA terabai dan dalam keadaan uzur sehingga perlu dirobohkan.

Ini ditambah dengan banyak stadium lama di Malaysia tapi masih berada dalam keadaan baik. Antaranya Stadium Merdeka, Stadium Larkin, Stadium Perak dan Stadium Darul Aman.

Apa yang lebih menghairankan See-To ialah TM Stadium Nasional, Bukit Jalil bertahan lebih lama daripada SSA. Ini kerana stadium itu siap dibina pada 1998, empat tahun lepas SSA siap dibina.

Meskipun kini dikenali dengan nama berbeza, TM Stadium Nasional, Bukit Jalil terus menjadi ikon negara termasuk gelanggang keramat Harimau Malaya.

Kisah SSA sebenarnya ingatan buat semua pihak tanpa mengira latar belakang politik bahawa isu penyelenggaraan kemudahan sukan merupakan tanggungjawab bersama.

Ini kerana selain SSA, satu lagi stadium pernah menjadi sebutan akibat isu penyelenggaraan yang serius iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). Stadium ini pernah menyaksikan bumbungnya roboh sebanyak dua kali pada 2009 dan 2013.

Antara punca bumbung SSMZA roboh ialah kesilapan reka bentuk stadium dan penggunaan bahan yang tidak sesuai. Kerajaan negeri Terengganu yang ketika itu dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kemudiannya meluluskan peruntukan sebanyak RM26 juta untuk kerja pembaikan SSMZA pada 2014.

Ini disusuli kerja pembinaan semula bumbung stadium pada Januari 2018. Kawasan laluan trek yang rosak pula ditutup dengan rumput tiruan dan dilaksanakan pada 2020.

Justeru, bagi mana-mana pihak yang nak cuba jadikan isu stadium sebagai bahan kempen, kisah dua stadium ini seharusnya menjadi renungan. Ini kerana isu penyelenggaraan kemudahan sukan ialah isu bersama dan membabitkan kepentingan awam.

Justeru, tidak kira siapa yang berkuasa di mana-mana negeri dan wlayah di Malaysia, pastikan infrastruktur sukan terutama stadium pada tahap terbaik. Tidak guna mendabik dada sebagai wira tetapi kemudahan sukan yang dimiliki tidak memuaskan.

Atas sebab itu, bukan sekali DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor membangkitkan isu ini baik di media mahupun di media sosial. Ini kerana pada hemat baginda, kemudahan sukan yang terbaik akan memacu pembangunan sukan negeri dan Malaysia amnya.

Maka, di sinilah kelompok politikus patut menjadikan kisah dua stadium ini sebagai renungan dan melihat isu penyelenggaraan kemudahan sukan sebagai isu bersama.

Jika mentaliti tersebut tidak diubah, maka sukarlah melihat Malaysia memiliki lebih banyak kemudahan sukan bertaraf dunia.