Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kini dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional.
Penjenamaan semula SNBJ diumumkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
Penjenamaan semula SNBJ merupakan sebahagian daripada kerjasama hak penamaan stadium antara PSM dan syarikat telekomunikasi negara, Telekom Malaysia Berhad.
Selain SNBJ, Stadium Putra Bukit Jalil juga diberi nama baharu. Sebelum ini dikenali sebagai Axiata Arena, stadium itu kini dikenali dengan nama Unifi Arena.
“Kerjasama strategik selama tiga tahun ini bertujuan memperkukuh kelestarian serta menaik taraf kemudahan stadium agar terus kekal relevan sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa,” kata PSM dalam satu kenyataan.
“Sebagai venue yang telah menyaksikan pelbagai detik bersejarah dan menyatukan jutaan rakyat Malaysia, kerjasama ini diharap dapat memberikan pengalaman yang lebih baik kepada semua pengunjung serta memastikan stadium kebanggaan negara terus menjadi simbol perpaduan dan kebanggaan nasional.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Amar Huzaimi Md Deris melihat kerjasama ini bersifat menang-menang buat kedua-dua belah pihak.
“Selama lapan dekad, TM memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi generasi. Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang begitu ikonik ini dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.
“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal terus menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang.”
Kerjasama hak penamaan stadium antara PSM dan Telekom Malaysia ini berlangsung selama tiga tahun.