Selepas sembilan perlawanan Liga Super, ramai penyokong dan pemerhati bola sepak mula menilai prestasi setiap pasukan yang bertanding. Dan ramai pihak termasuk duo pengacara Gol Per 90, Keesh Sundaresan dan Lee Chun Hang berpandangan Johor Darul Ta’zim (JDT) sukar dicabar sebagai pendahulu liga ketika ini.
Keesh yang turut dikenali sebagai Mat Stats berpandangan hal itu berlaku kerana JDT bukan saja mempunyai ramai pemain berkualiti dalam pasukan mereka. Malah, mereka juga mempunyai kualiti dari segi barisan kejurulatihan dan kemudahan yang dimiliki termasuk Stadium Sultan Ibrahim dan pusat latihan mereka.
Dengan kualiti sebegini, tidak hairanlah JDT bukan saja mampu mendominasi pihak lawan. Malah, mereka juga berupaya merekodkan jaringan gol yang besar seperti dialami Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Kedah dan KL City.
“Mereka mempunyai bukan saja pemain-pemain berkualiti. Mereka juga mempunyai barisan kejurulatihan yang berkualiti (dan) fasiliti yang berkualiti, yang jauh lebih baik.
“Saya cuma mengharapkan lebih banyak pasukan bila berhadapan dengan JDT, cuba beraksi secara konservatif dengan tujuan mengecewakan mereka. Setakat ini, hanya satu pasukan yang melakukan perkara sedemikian iaitu PDRM.
“Yang lain bila semua turun lawan JDT, semua cuba main ‘open game’ dan terus dibuli, dirobek gawang mereka dengan mudah. Jadi, taktik yang digunakan PDRM boleh digunakan sebagai penanda atau pelan biru untuk pasukan lain untuk gunakan dan hentikan kombinasi serangan JDT,” katanya kepada duo pengacara Lily Hamzah dan Alice Harun untuk rancangan Nadi Weekend semalam.
Dengan prestasi dominan JDT dalam saingan Liga Super, tidak hairanlah duo hos Gol Per 90 mempunyai pilihan berbeza untuk Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk pemain tempatan. Chun Hang memilih nama bek tengah muda, Feroz Baharudin dengan Keesh pula memilih bekas pemain muda Wolves, Hong Wan.
“Bagi saya, Feroz (Baharudin) dari JDT. Sebagai seorang bek tengah, dia agresif, boleh mencabar bola, dia boleh menang perebutan bola dengan mudah. ‘Anticipation’ dia amat kuat, ‘passing from the back’ juga sangat kemas. Jadi, saya rasa dia mempunyai potensi yang jauh berbanding pemain-pemain yang sedia ada,” kata Chun Hang.
“Kalau saya, saya pilih Hong Wan. Pemain yang menjadi pengganti Natxo Insa yang jangka masa yang lama. Dan awal-awal musim ini, ramai akan tertumpu kepada individu-individu yang menjaringkan gol seperti (Fernando) Forestieri untuk pemain import atau untuk pemain tempatan, Arif Aiman (Hanapi) di JDT yang banyak menjaringkan gol.
“Bagi saya, antara pemain yang menggerakkan momentum JDT yang luar biasa untuk tahun ini ialah Hong Wan. Tahun lepas, keluar masuk kesebelasan utama. Tetapi tahun ini, konsisten beraksi dalam kesebelasan utama. Dia muncul sebagai pemain tengah yang luar biasa. Individu ini boleh menjadi masa depan Johor dan masa depan negara untuk jangka masa panjang,” tambah Keesh lagi.
Sekiranya JDT meneruskan prestasi cemerlang mereka, tidak mustahil nama Arif Aiman akan dicanang sebagai MVP Liga Super untuk musim 2023. Ini kerana menurut Keesh, sukar bagi pemain-pemain lain mencabar prestasi konsisten yang ditunjukkan pemain sayap berusia 20 tahun itu.
“Bagi saya Arif Aimanlah, tak boleh lari. Kita ‘try hard’ cuba, pandang pemain lain (dan) beri peluang kepada orang lain. Tetapi realitinya, pemain kreatif terbaik tempatan yang ada di tanah air ketika ini ialah Arif Aiman.
“Luar biasa prestasi dia dengan dia mencipta peluang dan menjaringkan gol, catatan ‘assist’ nya luar biasa. Kalau dia teruskan momentum yang sedia ada sehingga penghujung musim, sekali lagi dia akan bergelar MVP,” ujarnya.