Statistik Jimmy Raymond Memukau Selepas Digilap Aidil Sharin
MakanBola
Kuching City FC

Selepas 11 perlawanan Liga Super, pemain pertahanan Kuching City FC, Jimmy Raymond dilihat antara pemain pertahanan terbaik tempatan ketika ini.

Ini berdasarkan statistik pertarungan merebut penguasaan bola yang dikongsikan Astro Arena. Berdasarkan statistik, Jimmy pemain kedua terbaik dengan memenangi penguasaan bola sebanyak 83 kali.

Statistik Liga Super Astro Arena Statistik Jimmy Raymond Memukau Selepas Digilap Aidil Sharin
Statistik penjaga gol dan pertahanan terbaik Liga Super. Sumber: Astro Arena

Ini disusuli pemain pertahanan PDRM FC, Safiee Ahmad (82 kali) dan pemain tengah Penang FC, Syamer Kutty Abba (81 kali).

Dua tonggak import melengkapkan senarai pemain terbaik dari segi pertarungan merebut penguasaan bola. Fadi Awad mengetuai senarai berkenaan dengan 91 kali dan Yuki Tanigawa di tangga kelima dengan 79 kali.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan statistik tinggi yang direkodkan Jimmy berlaku kerana prestasi konsistennya bersama Kuching City untuk musim 2024/25.

Ini kerana Jimmy bukan saja mampu memenuhi tanggungjawabnya di bahagian pertahanan. Malah, pemain berusia 28 tahun itu juga sedia naik ke atas untuk membantu jentera serangan.

Razman percaya sekiranya Jimmy terus mempamerkan prestasi konsisten bersama The Cats, tidak mustahil namanya bakal tersenarai dalam skuad Harimau Malaya.

“Tetapi kalau kita lihat corak persembahan Jimmy Raymond, beliau antara yang konsisten bersama Kuching City di sebelah kanan. Beliau yang melakukan (kerja) pertahanan, beliau yang buat kerja menyerang.

“Pemain yang saya rasa kita boleh lihat juga mungkin satu hari nanti boleh bersama skuad kebangsaan kerana prestasi konsistennya dalam liga dan membantu Kuching City berada pada tahap inilah,” katanya semasa menjadi panel program Nindia.

Sementara itu, penjaga gol terbaik Liga Super ketika ini didominasi oleh penjaga gol tempatan. Dua penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel merekodkan empat rekod tanpa bolos.

Manakala Syihan Hazmi Mohamed, Kalamullah Al-Hafiz, Samuel Somerville dan Haziq Nadzli pula masing-masing merekodkan tiga rekod tanpa bolos dalam liga.