Status permohonan Lesen Kebangsaan musim 2025/26 bakal menentukan sama ada Melaka FC layak ke Liga Super atau sebaliknya.
Perkara ini dinyatakan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam Nadi Arena apabila diminta berkongsi perkembangan terbaru Liga Super.
Zulhelmi memaklumkan Melaka dilihat memiliki peluang cerah beraksi dalam liga itu musim hadapan. Ini kerana mereka layak selaku juara Liga A1 Semi-Pro.
Pada masa sama, status permohonan lesen pada 10 Mei ini bakal menentukan kedudukan Melaka dalam Liga Super atau tidak.
“(Peluang) 80% mereka ke Liga Super itu akan berlaku kerana mereka secara meritnya layak selaku juara Liga A1.
“Cuma dokumentasi yang akan jadi penentu sama ada mereka menepati syarat Lesen Kebangsaan atau sebaliknya,” katanya.
Melaka bukan satu-satunya pasukan Liga A1 Semi-Pro yang membuat permohonan Lesen Kebangsaan dengan First Instance Body (FIB).
Ini kerana naib juara Liga A1 Semi-Pro, Imigresen FC turut mengemukakan permohonan lesen sama. Perkara ini dikongsikan Zulhelmi menerusi satu ciapan di X.