Status kontrak beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah dijangka diketahui sebelum saingan Japan Open 2025.
Perkara ini dinyatakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila ditanya tentang perkara tersebut.
Sebelum ini, status kontrak Pearly-Thinaah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat badminton negara.
Ini kerana beregu wanita nombor tiga dunia itu masih belum memeterai kontrak baharu selepas kontrak mereka tamat pada Disember 2024.
Apabila ditanya tentang hal tersebut, Tengku Zafrul memaklumkan perbincangan antara kedua-dua pihak berlangsung dalam suasana positif.
Kedua-dua pihak juga sudah mencapai persetujuan bersama dan berharap ia dapat diselesaikan sebelum saingan Japan Open bermula.
“Kita menghargai penglibatan mereka dan mereka menghargai sokongan daripada BAM. Pada masa sama, saya ada berkongsi dengan mereka dan mereka pun bersetuju.
“Mereka pun nak memuktamadkan perbincangan ini supaya mereka dapat fokus (kepada) kejohanan akan datang terutama Japan Open dan World Championship,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengumumkan bekas pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menyertai BAM sebagai jurulatih perseorangan wanita.