Status Richard Chin Resahkan Penyokong Ross County
MakanBola
Ross County FC

Status kecergasan pemain pertahanan Harimau Malaya, Richard Chin mencetuskan keresahan dalam kalangan penyokong Ross County.

Hal ini berlaku kerana Richard mengalami kecederaan dalam aksi terbaru Scottish League One antara East Fife dan Ross County baru-baru ini.

Bekas pemain Raith Rovers itu mengalami kecederaan pada separuh masa kedua perlawanan. Situasi ini memaksa pengurus The Staggies, Stuart Kettlewell memasukkan Jack Turner sebagai pengganti pada minit ke-55.

Seorang penyokong bernama Kieran Ross berharap kecederaan yang dialami Richard itu hanyalah kecederaan kecil dan tidak serius. “Tolonglah itu cuma kecederaan kecil,” katanya di X.

Sejak menyertai Ross County dari The Rovers pada musim panas lalu, beliau telah merekodkan 12 penampilan, tiga gol dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan.

Kettlewell turut memberi peluang kepada Richard beraksi dalam kesebelasan utama untuk dua aksi terakhir liga. Ini termasuk perlawanan menentang East Fife.

Sekiranya Richard perlu berehat untuk tempoh yang lama, ini bakal menjejaskan peluang beliau dipanggil Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem Harimau Malaya bagi menghadapi FIFA ASEAN Cup.

Beliau memiliki satu penampilan selepas beraksi dalam perlawanan menentang Palestin pada September 2025.