Status kecergasan Ronnie Fernandez meresahkan Selangor FC menjelang aksi terakhir mereka pada 19 April ini.
Penyerang Chile berusia 33 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang Terengganu FC pada 5 April lalu.
Walau bagaimanapun, ramai penyokong tertanya-tanya apabila jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi mengeluarkan Fernandez pada minit ke-31.
Kinoshi memasukkan bekas pemain sayap Ratchaburi, Alvin Fortes untuk bergandingan dengan kapten, Faisal Halim dan Aliff Izwan Yuslan di bahagian serangan.
Apabila ditanya tentang status Fernandez, beliau memaklumkan penyerang Chile itu terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan.
“Beliau mengalami kecederaan jadi beliau tak boleh berlari. Saya tiada pilihan, beliau tidak dapat berada di atas padang.
“Saya membuat pertukaran (dengan memasukkan Fortes menggantikan Fernandez),” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Fortes muncul wira dengan menyudahkan hantaran Faisal Halim pada minit ke-88. Ini membolehkan Selangor meraih tiga mata penuh pada akhir perlawanan.
Selangor kini bersiap sedia untuk aksi terakhir liga menentang PDRM FC di Stadium MBPJ pada 19 April ini.