Pasukan Malaysia di bawah kendalian Kim Pan-gon mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan pasukan yang berada di ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi (16 November).
Kekalahan yang menimpa Kyrgyzstan itu nyata mengundang reaksi aneh jurulatih mereka, Stefan Tarkovic. Jurulatih dari Slovakia itu berpendapat pemain-pemain Kyrgyzstan kurang keyakinan dalam perlawanan tersebut.
“Kami bolos melalui sepakan percuma yang pada pandangan saya tidak patut. Kami melakukan persiapan yang baik namun sukar untuk mengekang asakan Malaysia.
“Para pemain kelihatan tidak yakin untuk beraksi, keputusan yang dibuat di atas padang juga kurang baik,” jelas Tarkovic dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Tarkovic juga mengakui bahawa Malaysia telah menggunakan pemain-pemain laju dengan sebaiknya untuk mendapatkan jaringan.
“Malaysia ada pemain yang laju dan kamu sudah mempersiapkan diri untuk ini. Kami (Kyrgyzstan) tidak boleh beraksi seperti ini,” luahnya lagi.
Dengan kemenangan ini, Malaysia berjaya mengumpul tiga mata pertama dalam kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026. Malaysia bakal berdepan Taiwan pada 21 November di gelanggang lawan manakala Kyrgyzstan bakal bertemu Oman pada di gelanggang sendiri pada tarikh yang sama.