Selepas berhijrah ke Arab Saudi untuk menjadi pengurus pasukan Al-Ettifaq, Steven Gerrard kini berdepan tekanan.
Ini kerana kelab tersebut berdepan kemarau kemenangan dalam semua kejohanan ketika ini. Kali terakhir The Commandos meraih kemenangan ialah pada Oktober lalu.
Pada ketika itu, Al-Ettifaq berjaya mengalahkan Al-Wehda 3-2. Sejak itu, The Commandos mengalami empat kekalahan dan tiga kali seri.
Selain itu, Gerrard juga berdepan masalah komunikasi bila mengambil alih pasukan itu pada awal musim Saudi Pro League.
Dengan Al-Ettifaq kini di tangga kesembilan liga, kedudukan bekas kapten England itu dalam bahaya sekiranya prestasi pasukan tidak bertambah baik.
Atas sebab itu, Gerrard berharap kelab dapat menyokongnya dalam tetingkap perpindahan Januari ini untuk mendapatkan pemain baru agar dapat menambah kualiti dalam The Commandos.
“Kita perlu tunjukkan dalam tetingkap ini (perpindahan Januari) dan juga tetingkap (perpindahan) musim panas yang kita serius dan mahu berdaya saing di peringkat teratas liga dan bukan kedudukan kita buat masa ini,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Sebelum ini, Al-Ettifaq membawa masuk Georginio Wijnaldum, Demarai Gray, Jordan Henderson dan Moussa Dembele.
Dan The Commandos dilaporkan mahu meminjam khidmat bekas penyerang Liverpool, Roberto Firmino dari kelab Arab Saudi, Al-Ahli.
Gerrard perlu menunjukkan dirinya berjaya di tempat lain selepas sebelum ini dipecat sebagai pengurus Aston Villa pada musim lepas.