Selepas sebelum ini menolak tawaran Al-Ettifaq untuk menjadi pengurus mereka, Steven Gerrard membuat pusingan U semalam. Ini selepas kelab Arab Saudi itu mengesahkan perlantikannya sebagai pengurus pasukan.
Sebelum ini, legenda England itu menolak peluang menjadi jurulatih di Saudi Pro League. Tetapi Gerrard mengubah fikiran selepas pengurusan The Commandos bersedia memberi sokongan kepadanya termasuk mendapatkan pemain-pemain bertaraf bintang.
Ini merupakan tugas pertama Gerrard sebagai pengurus selepas dipecat sebagai pengurus Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas.
Gerrard mengikut jejak langkah bekas pengurusnya di skuad kebangsaan England, Roy Hodgson yang menjadi pengurus untuk kelab dan negara asing. Pengurus Crystal Palace itu pernah melatih Inter Milan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Finland dan Malmo.
Dengan perlantikan ini, dijangkakan beberapa pemain berstatus bintang bakal menjadi sasaran Al-Ettifaq. Tiga nama yang dicanang sebagai sasaran mereka ialah Alvaro Morata, Pierre-Emerick Aubameyang dan kapten Reds, Jordan Henderson.
Akhbar Daily Mirror melaporkan Al-Ettifaq berharap dapat mengumpan mereka dengan gaji lumayan untuk beraksi di Stadium Putera Mohamed bin Fahd. Henderson, Trio ini dijangka akan menimbang secara serius tawaran The Commandos jika ia muncul.
Bagi Henderson dan Aubameyang, dengan usia mereka kini mencecah 30-an, minit permainan dijangka terhad di kelab masing-masing. Sementara bagi Morata pula, ini peluang untuk mendapatkan gaji lumayan yang sukar diraih dengan kelab-kelab Eropah.