Strategi Kim Pan-gon Jerat Negeri Sembilan
MakanBola
Selangor FC

Strategi jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon membantu pasukan itu memerangkap Negeri Sembilan FC dalam aksi terbaru Liga Super pada 14 Januari lalu.

Selepas tewas 3-2 kepada lawan sama pada Ogos 2025, ramai penyokong Selangor mengharapkan pasukan gergasi Lembah Klang itu bangkit menewaskan Sang Rusa.

Matlamat itu tercapai apabila The Red Giants menewaskan Negeri Sembilan 1-0 menerusi gol Nooa Laine.

Pan-gon melihat kejayaan itu dicapai dengan cara menyekat pergerakan pemain sayap Negeri Sembilan. Ini kerana pasukan itu memiliki ramai pemain yang pantas.

Bekas jurulatih Harimau Malaya gembira taktik yang direncana membantu Selangor meraih tiga mata penuh.

“Saya fikir pemain-pemain beraksi sebagai satu pasukan dan menunjukkan permainan yang bagus. Pelan permainan kita juga sangat bagus dan saya fikir berkesan.

“Anda tahu pihak lawan memiliki pemain-pemain pantas tetapi kita mengawal keseluruhan perlawanan dan mencipta banyak peluang,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Pan-gon turut menghargai sokongan penyokong yang hadir di Stadium MBPJ. Beliau melihat sokongan mereka membantu pasukan itu untuk mencapai sasaran mereka musim ini.

“Sangat bagus (melihat) ramai penyokong kita di sini (Stadium MBPJ) seperti biasa. Penyokong The Red Giants hadir memberi sokongan, amat penting bagi kita mendapatkan semula keupayaan untuk bersaing.

“Malam ini, saya fikir anda tahu kemenangan sangat penting pada ketika ini. Kita tidak boleh hilang mata dalam setiap perlawanan.

“Kita ada sasaran jelas yang mahu dicapai, jadi semua orang tahu di mana sasaran kita (pada akhir musim),” ujarnya.

Selangor kini di tempat kedua dengan 31 mata, dua mata di hadapan KL City FC. Kuching City FC di tangga keempat dengan 28 mata.

Kini, Pan-gon dan Selangor mengalihkan fokus ke aksi Piala Malaysia. Selangor dijadual bertemu Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) untuk aksi pertama pusingan 16 pada 19 Januari.