Pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin melihat pencapaian akademik dan sukan bola sepak perlu selari sekiranya seseorang pemain ingin berjaya.
Pandangan ini dinyatakan pemain tengah berusia 26 tahun itu semasa menjadi tetamu program audio siar Stef It Up baru-baru ini.
Wilkin mendedahkan penguasaan akademik dan kemahiran bola sepak perlu selari kerana itu akan membantu pemain di luar sana. Ini kerana tidak semua orang berupaya untuk merealisasikan impian mereka sebagai pemain profesional terutama di peringkat Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kena kuasai kedua-duanya. Kita tak tahu apa peluang yang akan muncul dalam bola sepak. Kita tak tahu apa peluang yang akan timbul dalam bidang akademik.
“Saya pernah mendapat nasihat jika mahu berjaya sebagai pemain bola sepak, sudah tentu perlu bekerja keras dan berikan segala-galanya. Tetapi pada masa sama, jangan biarkan pencapaian akademik anda merosot kerana amat sukar untuk menjadi pemain bola sepak,” katanya.
Wilkin memaklumkan peratusan pemain yang berjaya merealisasikan impian mereka beraksi di EPL hanya setakat 1%. Atas sebab itu, penguasaan akademik penting sebagai pelan sandaran lebih-lebih lagi jika karier bola sepak yang diusahakan tidak berhasil.
“Terdapat kurang daripada 1% yang berjaya. Kebenarannya, ia memang sukar tetapi secara statistik, anda boleh sampai ke EPL.
“Sudah tentu (pencapaian) akademik perlu selari dengan impian bola sepak. Dalam kehidupan, anda perlukan pelan sandaran sebagai tempat rujukan,” tambahnya.
Sejak bersama Sabah FC secara tetap pada 2022, Wilkin telah merekodkan 66 penampilan, 11 gol dan lima bantuan gol. Beliau juga turut menjadi tonggak utama Harimau Malaya dengan merekodkan 15 penampilan antarabangsa dan empat gol.